Sejarah Sukan Malaysia
Sukan
Malaysia (SUKMA) dipertandingkan secara dwi-tahunan yang merupakan
kejohanan temasya yang terbesar dan berprestij di negara ini. Kejohanan
ini diadakan berselang-seli dengan Sukan SEA bagi tujuan mencungkil
bakat-bakat baru atlet yang berpotensi tinggi untuk mewakili negara.
Sukan Malaysia terbit daripada cadangan yang diketengahkan oleh YB.
Saudara Anwar Ibrahim, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika itu
pada tahun 1983. Pada mulanya ia hanya melibatkan sukan tennis, ping
pong, lumba basikal, olahraga dan bola tampar, tetapi oleh kerana
sambutan yang menggalakkan, maka jenis dan bilangan sukan telah
ditambah.
Konsep Sukan Malaysia
adalah untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu di kalangan
masyarakat yang berbilang kaum sama ada di Semenanjung Malaysia, Sabah
dan Sarawak. SUKMA juga mengamalkan konsep pensyarikatan Malaysia di
mana pengelolaan akan melibatkan pihak kerajaan, badan-badan Sukan,
Majlis Sukan Negara Malaysia dan pihak swasta dari segi penajaannya.
Penyertaannya peringkat awal dibuka untuk peserta berumur 21 tahun ke
bawah, bagi atlet-atlet yang tidak berada di dalam Program Jaya '98
(iaitu program penyediaan atlet untuk Sukan Komanwel 1998) manakala
atlet-atlet di dalam Program Jaya '98 tiada had umur dikenakan. Semua
penyertaan adalah mengikut Majlis Sukan Negeri-Negeri dan Majlis-Majlis
Sukan Tentera, Polis, Universiti, manakala Majlis Sukan Sekolah-Sekolah
Malaysia adalah sebagai kontinjen jemputan.
Sukan Malaysia kali pertama dan kedua telah diadakan sekitar Lembah
Klang di mana Majlis Sukan Negara Malaysia menjadi pengelolanya. Sukan
Malaysia ketiga dan seterusnya telah ditawarkan kepada negeri-negeri
untuk menjadi tuan rumah. Pada satu peringkat tuan rumah ditentukan
secara bida sebagaimana temasya-temasya Sukan antarabangsa yang lain.
Selepas kajian dibuat dan dengan mengambilkira kos yang terpaksa
dibelanjakan oleh negeri-negeri yang berkeinginan untuk tuan rumah dalam
proses bida ini telah meningkat dengan begitu ketara, keputusan baru
telah dibuat dengan memberhentikan proses bida dan telah digantikan
dengan proses penggiliran mengikut zon.
Sukan Malaysia sudah menjadi medium yang penting dalam menaikkan nama
negeri dalam arena Sukan dewasa ini. Kerajaan Negeri telah bersedia
untuk membelanjakan peruntukan yang besar bagi persiapan kontinjen,
penyertaannya termasuk juga pemberian ganjaran kemenangan dalam konteks
Sukan Malaysia hari ini.
Kos untuk
mengelolakan temasya ini juga kian kali kian meningkat dengan begitu
besar, apa lagi setiap negeri yang menjadi tuan rumah ingin menjadi
penganjur yang terbaik setiap kali menjadi tuan rumah. Kepentingan yang
tinggi tersebut telah mengenepikan soal kos yang hanya menjadikan
keutamaan kedua.
Setiap kali SUKMA
baru akan bermula setiap kali itu pula resolusi-resolusi dan
peraturan-peraturan baru diimplimentasikan bagi memenuhi keperluan
semasa. Sebahagiannya daripada perubahannya tidak untuk tujuan jangka
panjang atau untuk kebaikan pembangunan Sukan secara kekal, tetapi lebih
kepada kebaikan pengurusan pertandingan semasa atau disebabkan
kepentingan tertentu dan ianya tidak konsisten.
Walaupun begitu, Negeri Terengganu telah menjadi penganjur yang pertama
yang tidak mengambil kesempatan kepada situasi ini dalam menjadikan
penganjur kejohanan yang paling berintegriti. Malah telah dibuktikan
sepanjang temasya berjalan Jawatankuasa Juri Rayuan Induk dan
Jawatankuasa Disiplin tidak perlu dipanggil bersidang walau sekalipun
untuk menyelesaikan sebarang kes teknikal. Ketelusan tuan rumah dalam
pengadilan dibuktikan lagi contohnya dalam satu Sukan subjektif Pencak
Silat, peserta tuan rumah telah tewas dengan 0.05 mata, yang kalau
kemenangan diberi kepada peserta inipun, tidak akan timbul isu yang
besar, namun tuan rumah tetap tidak mendesak untuk merubah atau
mempengaruhi keputusan tersebut malah menerimanya secara ‘gentelmen'.
Sebahagian besar kemenangan atlet tuan rumah datangnya melalui
acara-acara dari ‘measurable sports' yang tidak boleh dipertikaikan
keputusannya.
Keputusan
pertandingan bagi semua sukan dan di semua venue dapat dilayari dalam
internet secara on-line' dan juga diperolehi secara ‘hard copies' di
semua premis yang telah ditetapkan dengan cepat dan memenuhi sasaran
masa tidak lebih daripada tiga (3) minit selepas tamat satu-satu
perlawanan. Keputusan juga dikeluarkan secara pertandingan, harian dan
keputusan penuh di hari akhir setiap pertandingan. Setiap kontinjen,
pengurus pasukan, organisasi, persatuan sukan dan jabatan berkaitan
mendapat set keputusan lengkap termasuk dalam bentuk CD sebelum
masing-masing berlepas pulang. Perkara ini merupakan satu kekuatan dalam
pengelolaan SUKMA kali ini yang telah mendapat pujian daripada semua
pihak termasuk media. Maklumat di dalam laman web rasmi juga lengkap
sehinggakan pihak media serta juruacara tidak perlu meminta maklumat
tambahan lagi daripada seketariat untuk tujuan bahan liputan mereka. Ini
pertama kali dalam sejarah SUKMA semua pegawai terlibat termasuk
pengurus pasukan dapat membawa balik keputusan lengkap yang memungkinkan
mereka membuat penganalisaan pasukan masing-masing dengan lebih tepat.
Sebelum ini pengurus pasukan akan membawa balik keputusan bagi
atlet-atlet mereka yang bertanding sahaja.
Kalau dilihat dalam kontek pembangunan sukan jangka panjang, masih
banyak ruang yang boleh dipertingkatkan lagi. Sokongan kerajaan-kerajaan
negeri mungkin lebih membantu kecemerlangan sukan negara melalui SUKMA
amnya jika bantuan ini disalurkan berterusan sepanjang dua tahun
persiapan, bukan secara praktik masa kini kebanyakan negeri-negeri
membuat persiapan setahun sebelum dan bagi negeri-negeri yang kurang
peruntukan kewangan , bantuan hanya dapat disalurkan enam bulan sebelum,
malah lebih teruk daripada itu ada negeri yang menyediakan pasukan
SUKMA mereka tiga bulan sebelum. Ini bermakna tumpuan kepada persiapan
atlet dalam persiapan SUKMA masih dikira latihan bermusim dan bukan
latihan jangka panjang yang berstruktur.
Latarbelakang
Seminar Pengelolaan Sukan Malaysia
setiap tahun telah diadakan pada 27 dan 28 September 2010 di Hotel Pearl
International. Seminar ini telah dihadiri oleh Pengarah-pengarah
Majlis Sukan Negeri, Wakil dari Majlis Olimpik Malaysia, Kementerian
Pelajaran Malaysia, Setiausaha/Wakil Persatuan Sukan Kebangsaan,
Majlis Sukan Universiti Malaysia, Polis Di-Raja Malaysia (PDRM),
Angkatan Tentera Malaysia (ATM), wakil-wakil media dan orang
perseorangan bagi mendapatkan pandangan berkenaan perlaksanaan Sukan
Malaysia pada setiap tahun.
Cadangan pengelolaan Sukan Malaysia
pada setiap tahun telah dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa
Tertinggi Sukan Malaysia pada 8 April 2010 dan Mesyuarat Jawatankuasa
Kabinet Pembangunan Sukan pada 27 Mei 2010. Jawatankuasa Kabinet
Pembangunan Sukan telah bersetuju pengelolaan Sukan Malaysia akan
diadakan pada setiap tahun.
Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia
XIV, Kuala Lumpur 2011 kali pertama yang diadakan pada 10 Januari 2011
telah memutuskan sebanyak 20 jenis sukan akan dipertandingkan pada
temasya kali ini.
Logo Sukan Malaysia
http://www.msnselangor.gov.my/msnsel/index.php/informasi/sukan-malaysia/logo.pdf
Logo Sukan Malaysia
http://www.msnselangor.gov.my/msnsel/index.php/informasi/sukan-malaysia/logo.pdf
No comments:
Post a Comment